Assalamualaikum kepada pembaca setia fs, aku perkenalkan diri sebagai Nana. Selalu sangat baca kisah seram dekat Fiksyen Shasha ni, teringin pula hati ini nak berkongsi kisah seram aku di fs ni. Sebenarnya ini bukan sahaja kisah aku tapi termasuklah bapa dan emak aku juga. Sebenarnya sebelum bapaku kemalangan motosikal sewaktu hendak ke tempat kerja di area Shah Alam pada tahun 2010, dia kiranya pandailah juga dalam mengubat orang ,seperti terkena buatan orang, histeria ke dan ada benda nak mendamping ke, lebih kurang macam tu.
Sebab semasa remaja, dia pernah belajar di pondok, mendalami ilmu agama. Kemudian dah belajar di pondok, dia belajar ilmu persilatan. Itu adalah serba sedikit tentang diri dia, sebelum terlibat secara tidak langsung dalam ilmu perubatan ni. Sebab selepas kemalangan tu dia tak boleh buat kerja berat-berat, kalau ubatkan orang pun, yang jenis gangguan ringan sahajalah. Dipendekkan cerita, sebab pembaca tak suka mukadimah yang panjangkan. Dalam dua tahun lepas, sepupu aku ada mengurut kawannya (dia pandai juga urut sikit-sikit, tapi tak boleh scan), aku gelarkannya Azmi lah ya. Kawan Azmi minta urutkan, tengkuk dan bahunya sakit-sakit, seperti kena hempap. Berat rasanya hendak bawa badan katanyalah.
Si Azmi ni urutlah macam biasa. Hari berganti hari dan seminggu pun berlalu. Lepas tu muncullah Azmi ke rumah ku untuk berjumpa bapaku. Dia minta bapaku tolong urutkan badannya sebab terasa sakit. Keadaannya sakitnya tu sama saja seperti kawan yang dia urut minggu sudah. Bapaku cubalah urut bahu Azmi dan adalah bacaan yang dibaca, tapi perlahan sahaja. Selesai urut-urut sikit, bapaku cuma tepuk sekali sahaja tengkuknya, sudah selesai. Azmi terkejut, cepatnya urut. Bapaku berpesan, kalau nak urut tengok-tengoklah dulu, ini tidak main urut je. Terkebil-kebil Azmi cuba untuk memahami.
Jelas bapaku lagi, sebenarnya ada pontianak memaut bahu kawannya, sebab tu dia terasa sakit dan berat, kemudian semasa mengurut kawannya itulah kak pontianak ni sudah terbekenan pulak kat si Azmi ni, maka berpindahlah dia ke bahu Azmi. Patutlah masa Azmi melangkah masuk ke rumahku, lalu saja Azmi dihadapan ku terus mencanak naik bulu roma ditengkuk dan dilengan, terasa kembang saja tengkuk dan lenganku macam kucing nak bergaduh lagaknya. Terfikir pula dihati, manalah agaknya si kawan Azmi ni pergi sehingga kak pontianak dah “terpaut” padanya sehingga terpindah pula dibahu Azmi, boleh tahan mata keranjang juga kak ponti ni, pantang nampak lelaki berkumis dan berkening tebal, hahaha.
Tapi pada malam tersebut ketika bapaku tengah tidur, dia bermimpi didatangi pontianak tersebut, sebab marahkan bapaku pisahkan dia dengan Azmi. Bapaku marahlah, suruh cari rumah lain, sebab diakan syaitan, pontianak pula tu, macam lah lawa sangat. Dalam bertegang urat dan berlawan cara batin dalam mimpi tu, akhirnya kak ponti tu mengalah. Esoknya Azmi call, dia beritahu pada bapaku, dia terdengar bunyi perempuan menangis luar biliknya, sayu je. Tidak lama kemudian hendak dekat azan subuh baru suara tangisan tu hilang. Sedih pulak rasanya cinta antara dua alam, huhu. Tapi pergi jahanamlah kat pontianak tu kan.

No comments:
Post a Comment